7 dicekup sertai perlumbaan haram

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Pasukan Polis Diraja Brunei

TUTONG, 27 JAN – Tujuh individu telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan setelah dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.

Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20an dengan tujuh buah kenderaan mereka disita dan dibawa ke Balai Polis Tutong, Polis Diraja Brunei (PDB) bagi siasatan lanjut dan kemudiannya diserahkan ke Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) bagi  menjalani pemeriksaan kelayakan kenderaan.

Kegiatan perlumbaan haram tersebut berjaya dipatahkan selepas operasi mengejut dijalankan hasil pemantauan dan risikan di lokasi yang dipercayai tempat aktiviti perlumbaan dilakukan.

Operasi pada malam itu telah diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalu lintas Daerah Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Dayangku Husmawati binti Pengiran Hussin; Penolong Pegawai Siasatan Lalu lintas Daerah Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Maressa binti Morsidi; Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani; bersama pihak JPD, Penguat kuasa Kanan Sheikh Mohd Yusri; Pegawai Penguat kuasa Norazme dan Aji bin Rashid.

PDB menegaskan kepada orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya
sebagai tempat untuk berlumba atau menunjuk jaguh sehingga menyusahkan orang lain.

Pihak polis juga tidak akan bertolak ansur dan akan menjalankan tindakan tegas
mengikut undang-undang tanpa kompromi.

Antara kenderaan yang disita oleh pihak polis setelah dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong.
ATAS & BAWAH: Kereta-kereta yang disita semasa operasi mengejut dijalankan di Daerah Tutong.