7 Hari mencintaiku 2 disambung?

Pelakon popular, Shukri Yahaya, 32, tidak menolak untuk membintangi drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku untuk musim seterusnya.

Drama 7 Hari Mencintaiku 2 sekali lagi mencetuskan fenomena apabila mencatat jumlah 12 juta tontonan sepanjang 33 episod yang disiarkan di stesen TV3, baru-baru ini.

Shukri berkata, dia mengharapkan jalan cerita yang diketengahkan berbeza daripada dua musim terdahulu sekiranya ada sambungan.

“Ramai minta sambungan musim ketiga. Insya-Allah, saya tidak akan menolak sekiranya disambung, cuma jika boleh skrip dan jalan cerita biarlah berbeza, baru penonton seronok nak tengok.

“Jika jalan cerita lebih kurang sama, penonton pun tidak teruja. Saya mengharapkan skrip lebih bagus, lagi seronok kami sebagai pelakon mahu menjayakannya,” katanya kepada BH Online.

Shukri Yahaya menjadi aktor pilihan pengarah dan penerbit apabila kebanyakan drama lakonannya menjadi trending. – Agensi

Terdahulu, beberapa drama lakonan Shukri atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Yahaya turut mencatat jumlah sama iaitu 7 Hari Mencintaiku pada 2016 dan Andainya Takdir 2 (2018).

Selain Shukri, drama arahan Jamal Khan dan terbitan SR One Sdn Bhd itu turut menampilkan pelakon, Siti Saleha, Liza Abdullah, Kazar Saisi, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila dan ramai lagi.

Sementara itu, Shukri bakal menjayakan sebuah megadrama karya Siti Rosmizah selepas tamat dengan penggambaran drama Kelmarin Cinta yang kini sedang menjalani penggambaran.

“Sekarang, saya menjalani penggambaran drama arahan Jamal Khan, kemudiannya bersambung pula megadrama karya Siti Rosmizah. Bagaimanapun, judulnya akan dikongsi nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shukri berkata, kehidupannya lebih sempurna dengan kehadiran cahaya mata lelaki, Maleeq Miqayl yang baru berusia dua bulan.

“Alhamdulillah, anak saya membesar dengan sihat, manakala isteri pula baru habis berpantang. Terima kasih kepada isteri yang banyak berkorban membesarkan anak-anak ketika saya sibuk bekerja,” katanya.

Selain Maleeq, Shukri yang mendirikan rumah tangga bersama Tya Adnan pada 2015 dikurniakan anak perempuan, Aaira Ameena yang kini berusia empat tahun. – Agensi