7 hilang runtuhan salji di Himalaya

KATHMANDU, 19 JAN – Turunan salji tebal, hembusan angin sejuk dan keadaan cuaca yang sangat buruk menjejaskan misi pencarian empat warga Korea Selatan dan tiga warga Nepal yang terperangkap dalam runtuhan salji di kawasan pergunungan popular di Annapura, Himalaya hari ini, kata pegawai.

Runtuhan salji di kawasan Gunung Annapura menyebabkan tujuh orang dilaporkan hilang setakat ini, menurut laporan pegawai. Insiden ekoran salji tebal, semalam itu dikatakan tercetus pada ketinggian sekitar 3,230 meter, berhampiran pangkalan kem Annapura, iaitu antara puncak tertinggi di Himalaya.

Jurucakap Jabatan Pelancongan Nepal, Mira Dhakal, berkata sepasukan penyelamat ditugaskan semalam untuk mencari empat warga Korea Selatan dan tiga rakyat Nepal yang dilaporkan hilang ketika insiden runtuhan salji terbabit. Ketua Pegawai Polis Kathmandu, Dan Bahadur Karki, bagaimanapun berkata cuaca buruk setakat ini menjejaskan usaha menyelamat mangsa yang terbabit dalam runtuhan salji berkenaan.

“Pasukan kini giat melakukan usaha menyelamat, malah kita mempunyai helikopter yang diletakkan dalam keadaan bersedia bagi membantu operasi apabila keadaan cuaca bertambah baik,” katanya. – AFP

Para pelancong tiba di Lapangan Terbang Pokhara, Kathmandu selepas misi penyelamat dilakukan di kawasan kem pangkalan di Gunung Annapura pada 18 Januari. – AFP