7 ikan paus terdampar ditemui mati

KUPANG, 13 OKT – Tujuh ikan paus pandu ditemui mati di pantai timur Indonesia, selepas pihak berkuasa menerima laporan bahawa 17 ekor haiwan itu terdampar di kawasan pedalaman itu.

Bagaimanapun, penduduk dekat Kampung Menia kelmarin berjaya menyelamatkan 10 ikan paus terbabit, yang berukuran antara tiga hingga empat meter panjang.

“Terdapat beberapa kesan luka pada badan ikan paus itu akibat bergesel dengan batu,” kata ketua agensi pemuliharaan marin tempatan, Ikram Sangaji kepada AFP.

Menurutnya, kecederaan itu menunjukkan ikan paus terbabit tidak dikendalikan dengan baik, ketika operasi menyelamatkan mereka dijalankan.

Sangaji juga berkata, enam bangkai ikan paus itu ditanam dalam satu operasi tradisional, manakala seekor lagi dilapah penduduk kampung untuk mendapatkan dagingnya. – AFP

Penduduk dan pegawai maritim memeriksa ikan paus yang terdampar di pantai Kolo Udju, Kampung Menia, Timur Nusa Tenggara pada 11 Oktober. – AFP