7 kategori barangan makanan ditetapkan harga maksimum

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, mengumumkan bahawa sebanyak tujuh kategori barangan keperluan makanan harian ditetapkan harga maksimum selama lima minggu bermula 1 Ramadan hingga 7 Syawal 1441H.

Kenyataan menyatakan bahawa arahan penetapan harga maksimum bermusim itu bertujuan bagi mengekalkan harga yang berpatutan ke atas barangan makanan terpilih yang sering digunakan dalam penyediaan makanan pada bulan Ramadhan dan menjelang Syawal.

Barangan yang telah ditetapkan harga maksimum berkenaan ialah ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, susu pekat, susu cair dan krim serta tepung, di mana harga maksimum bagi ayam bulat dan telur ayam adalah ditetapkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Manakala sebagai tambahan, harga minyak masak dan susu tepung anak damit ditetapkan harga maksimum sepanjang tahun. Senarai harga maksimum barangan tersebut boleh didapati melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan di laman sesawang JPES.

Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (DCCA), JPES menerangkan bahawa arahan penetapan harga maksimum bermusim ini adalah bertujuan bagi mencegah harga pasaran barangan terpilih daripada mengalami kenaikan melebihi tahap tertentu.

Walau bagaimanapun, arahan ini tidak menghalang para peniaga daripada menawarkan harga yang kompetitif secara independent bagi menarik pelanggan.

Manakala, para pengguna pula digalakkan untuk menggunakan hak mereka dengan membandingkan harga di kedai-kedai serta mengetahui pilihan dan jenama sebanding yang ada, bagi mendapatkan nilai terbaik dalam membuat pembelian.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung penetapan harga maksimum secara bermusim boleh diajukan ke DCCA melalui Hotline Pengguna di Talian Darussalam 123 atau aplikasi mudah alih DCCA iaitu PenggunaBijak.