7 kes baharu, 1 kes import dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Lapan kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,426 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa tujuh daripadanya adalah kes tempatan, manakala satu lagi adalah kes import.

Yang Berhormat Dato mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

“Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 2,818 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.3 peratus,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, tidak ada kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan satu kes adalah dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO) di unit rawatan intensif.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut memaklumkan bahawa 21 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 15,171 kes dengan sebanyak 155 kes aktif.

Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 3.8 peratus.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan di mana sehingga kelmarin (21 Disember), kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.4 peratus; kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 92.6 peratus; manakala kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 10.7 peratus.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kepada orang ramai untuk berdoa semoga rakyat dan penduduk sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan terselamat dari segala musibah dan mara bahaya khususnya daripada wabak COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani