7 kes import baharu dilapor

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Sebanyak 10 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,412 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, daripada jumlah tersebut, tiga adalah kes tempatan manakala tujuh adalah kes import.

Beliau mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

“Jumlah kes baharu ini adalah hasil daripada 1,120 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.9 peratus,” jelas Yang Berhormat Dato.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Yang Berhormat Dato, tidak ada kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi) dan satu kes adalah dalam kategori 5 (memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di unit rawatan intensif).

Beliau turut memaklumkan bahawa 15 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh kepada 15,113 kes dengan sebanyak 199 kes aktif. Sementara itu, kongsinya lagi, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 4.3 peratus.

Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan di mana sehingga kelmarin (19 Disember), kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.3 peratus dan 92 peratus pula telah menerima dua dos vaksin manakala itu, kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 7.7 peratus.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama mematuhi segala arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan semasa Fasa Awal Endemik ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani.