7 kluster baharu dikesan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Negara Brunei Darussalam mencatatkan 125 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 13,446 orang.

Terdapat 52 tambahan kes-kes baharu kepada enam kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada sidang media COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, menurut Yang Berhormat Dato, terdapat tujuh kluster baru telah dikesan yang melibatkan 31 kes.

“Kesemua kluster-kluster baharu ini adalah merupakan kluster kediaman di mana empat daripadanya iaitu Kluster Ban 2A Construction Staffhouse, Kluster Ban 5 Construction Staffhouse, Kluster Jalan Pasir Berakas Staffhouse dan Kluster Bhuiyan Construction Staffhouse adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat tersebut,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dua kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam masa 28 hari, iaitu Kluster 6602 dan Kluster 7481, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 176 kluster.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, terdapat 42 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 200 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 11,923 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,433 kes,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 14 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah Yang Berhormat Dato.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,306 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 516,880 ujian.

Di hujung kenyataan beliau, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk saling ingat-mengingati dan sama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk memulihkan negara daripada penularan wabak COVID-19.

“Dengan adanya usaha yang padu, serta dengan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT, Insya-Allah, Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya akan terselamat daripada segala musibah yang tidak diingini. Sesungguhnya hanya kepadaNya jualah tempat kita semua memohon pertolongan.”