7 lagi ditangkap berkaitan dadah dalam Operasi Musang King lalu

Gambar serahan BKN

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Tujuh lagi individu yang berkaitan dengan kegiatan sindiket keluarga pengedar dadah dalam Operasi Musang King lalu, telah ditahan dalam tempoh tiga hari, 15 hingga 17 September lalu.

Biro Kawalan Narkotik (BKN) dalam kenyataannya hari ini, menjelaskan, tiga daripada yang ditahan itu mempunyai hubungan keluarga dengan dua lagi adalah anak-anak lelaki kepada suspek utama daripada tangkapan awal manakala seorang lagi merupakan isteri kepada salah seorang daripada mereka yang ditahan.

Ketiga-tiga mereka yang ditangkap itu berumur dalam lingkungan 26 hingga 36 tahun dan merupakan warga tempatan kecuali suspek perempuan.

Mereka berjaya ditahan di dua tempat berasingan iaitu di kawasan letak kereta sebuah kompleks membeli-belah di Kampung Manggis dan sebuah kediaman di Jalan Dadap, Kampung Kilanas.

Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan di tempat kediaman serta kenderaan suspek, pihak BKN telah menemui sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing yang dianggarkan bernilai lebih $5,000, beberapa telefon bimbit, satu jam tangan dan lima buah kereta (gambar bawah) yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Menurut kenyataan, tangkapan tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal; Seksyen 10 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan bersubahat melakukan kesalahan di bawah APD, Penggal 27 dan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 iaitu atas kesalahan membersihkan wang haram yang boleh membawa denda tidak melebihi $500,000 dan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan dengan operasi-operasi tangkapan berkenaan, BKN ingin mengingatkan bahawa pihak penguatkuasaan akan terus memburu dan menangkap mana-mana individu yang terlibat dalam jaringan sindiket keluarga pengedar yang tertangkap sebelum ini.

Dalam hal ini, BKN juga memberikan amaran kepada orang awam bahawa melibatkan diri atau tindakan melindungi mana-mana individu-individu yang terlibat dalam jenayah ini adalah salah di sisi undang-undang dan juga boleh didakwa di mahkamah bersama suspek-suspek yang terlibat.

Beberapa telefon bimbit yang dirampas mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket keluarga pengedar dadah dalam Operasi Musang King lalu.