7 lelaki ditahan terlibat pemerdagangan orang

BANGKOK, 8 MEI – Polis Thailand menahan tujuh lelaki atas kesalahan memperdagangkan warga tempatan untuk aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.

Timbalan Komander Bahagian Anti Pemerdagangan Orang, Biro Siasatan Pusat, Polis Diraja Thailand Kolonel Narong Tesswiboon berkata, mereka ditahan Khamis lalu selepas siasatan terhadap kes membabitkan 44 pekerja Thailand.

Mereka ditemui bekerja di atas kapal nelayan di Malaysia dan dihantar pulang pada September tahun lalu termasuk, tiga yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Lelaki yang ditahan itu termasuk pemilik bot dan tekong serta lima orang tengah yang mengumpan warga Thailand untuk bekerja di atas kapal nelayan asing.

Siasatan mendapati mereka dipaksa bekerja lebih masa dengan upah yang tidak setimpal, malah turut didera secara fizikal dan mental.

“Pekerja tidak dibayar, namun mereka diberi elaun sara hidup bulanan sebanyak RM100 untuk membeli barangan keperluan harian.

“Siasatan awal mendapati mereka diperdaya untuk bekerja (di atas kapal nelayan) di perairan Malaysia.” – Bernama