7 maut, 15 cedera kemalangan kereta

ISLAMABAD, 25 JUN – Seorang pemandu sebuah bas merempuh sebuah kereta di wilayah Sindh selatan Pakistan hari ini, menyebabkan tujuh orang terbunuh dan 15 lagi cedera, lapor media tempatan.

Menurut laporan, bas laju itu muncul dari arah bertentangan melanggar kereta di Lebuhraya Indus berhampiran kawasan Numnara di Shikarpur, sebuah daerah di Sindh.

Berikutan kejadian itu, penyelamat, polis dan penduduk tempatan bergegas ke tempat kejadian dan memindahkan mayat mangsa dan yang tercedera ke Hospital Awam di daerah itu untuk rawatan, di mana beberapa yang cedera dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

Polis berkata, mereka yang terbunuh, termasuk tiga wanita, adalah berasal daripada keluarga yang sama dalam kereta berkenaan, sambil menambah bahawa siasatan telah dilakukan terhadap kemalangan tersebut.

Kereta berkenaan remuk dalam kemalangan itu dan para penyelamat terpaksa memotong bahagiannya untuk mengeluarkan mayat, laporan itu menambah. – Xinhua