7 maut, 25 cedera dalam letupan saluran paip gas

DHAKA, BANGLADESH, 17 NOV – Kira-kira tujuh orang terbunuh manakala 25 lagi cedera selepas saluran paip gas meletup di tenggara Bangladesh hari ini, kata polis.

Letupan yang berlaku di kawasan Patharghata di daerah Chittagong itu menumbangkan sebahagian tembok sempadan bangunan berdekatan, kata ketua polis tempatan, Mohammed Mohsin.

Menurutnya, kira-kira 25 orang dimasukkan ke hospital dan anggota bomba turut sama membantu operasi.

Tidak jelas apa punca letupan itu. Laporan berita berkata jalan di hadapan tapak letupan itu dikerumuni ramai orang dan beca-beca.

Tembok sempadan itu roboh menghempap pejalan kaki yang ada di jalan raya berkenaan.

Letupan itu berlaku ketika penduduk hendak bersiap sedia untuk bekerja pada paginya, kata Mohsin. – AP