7 maut dipercayai hisap kanabis sintetik

WELLINGTON, 21 Julai – Kira-kira tujuh orang dipercayai maut di Auckland pada bulan ini selepas menggunakan kanabis sintetik, kata polis New Zealand hari ini, mengingatkan pengguna supaya menjauhi dadah berkenaan.

Polis berkata kanabis sintetik, yang diharamkan di New Zealand pada 2014, sering dibubuhi bahan yang tidak diketahui dan mungkin menyebabkan serangan tiba-tiba yang membawa maut.

“Kami berasa bimbang kerana pengguna tidak tahu apa bahan kimia yang dimasukkan ke dalam badan mereka apabila mereka menghisap dadah ini,” kata inspektor detektif Gary Lendrum dalam satu kenyataan.

Polis tidak memberikan butir-butir lanjut tentang tujuh kematian di bandar terbesar New Zealand tetapi berkata kesemua kes telah pun dirujuk kepada koroner.

Ketua koroner Deborah Marshall berkata perkhidmatan ambulans juga telah melaporkan sejumlah kes yang tidak serius di mana orang telah dimasukkan ke hospital selepas menggunakan dadah berkenaan.

New Zealand mengharamkan dadah sintetik tiga tahun lalu, bermakna bekalan atau penghasilan boleh membawa kepada hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga NZ$500,000.

Kanabis buatan manusia sama ada disemburkan pada bahan tumbuhan kering untuk dihisap, atau dijual sebagai cecair yang boleh disedut secara “vaping” dalam e-rokok dan alat lain.– AFP