7 maut minum cecair sanitasi tangan

MOSCOW, 23 NOV – Tujuh orang di republik Yakutia, Rusia maut manakala dua lagi koma hari ini selepas meminum cecair pensanitasi tangan yang banyak digunakan semasa musim pandemik ini.

Kenyataan yang disiarkan oleh penyiasat Rusia pada Sabtu berkata sembilan penduduk tempatan jatuh sakit di kampung Tomtor selepas meminum gel pensanitasi tangan yang mereka beli di sebuah kedai tempatan.

Penyiasat berkata mereka mendapati kanister lima liter tidak berlabel di tempat kejadian.

Ujian ke atas kandungannya mendedahkan ia mengandungi 69 peratus metanol, sejenis alkohol bagi industri yang tidak sesuai untuk diminum.

Tiga mangsa pertama maut di tempat kejadian, sementara enam yang lain diterbangkan menggunakan pesawat udara ke bandar serantau Yakutsk.

Empat lagi disahkan maut ketika dirawat di hospital.

Doktor-doktor pada masa ini berusaha menyelamatkan dua lagi nyawa – seorang wanita berusia 48 tahun dan lelaki berusia 32 tahun, kedua-duanya koma, kata pihak berkuasa kesihatan hari ini. – AFP