7 Negara rebut kejuaraan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Kira-kira 300 orang peserta menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Brunei Masters 2019 yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kejohanan tersebut, yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin itu, telah sempurna dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian kejohanan berkenaan pada petang tadi.

Tujuh buah negara menyertai kejohanan berkenaan termasuk negara tuan rumah, Negara Brunei Darussalam dan negara lainnya iaitu Sri Lanka, India, Singapura, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Antara acara yang dipertandingkan dalam kejohanan berkenaan ialah Acara Jalan Kaki sejauh 5 dan 3 kilometer, Melempar Cakera, Lompat Kijang, Lompat Jauh, Lontar Peluru, Rejam Lembing, Lompat Tinggi dan Larian.

Sementara itu, kejohanan berkenaan merupakan anjuran Persatuan Atlet Veteran Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS.

Pada upacara perasmian yang berlangsung petang tadi, turut diadakan acara perbarisan lalu yang diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei sebelum tetamu kehormat dibawa menemui ketua-ketua perwakilan atlet dari negara-negara yang menyertai kejohanan tersebut.

Pasukan perbarisan dari India muncul juara bagi acara perbarisan berkenaan, menerima piala kemenangan yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin ketika dibawa berjumpa ketua-ketua perwakilan negara yang menyertai kejohanaan tersebut.
Pasukan India diumumkan sebagai johan bagi acara perbarisan lalu pada acara pembukaan berkenaan.
Sebahagian atlet negara yang bersaing di kejohanan tersebut.