LABUAN, 15 MAC – Polis Marin Labuan menahan tujuh nelayan warga asing termasuk dua warga Filipina yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran, dengan nilai rampasan berjumlah RM240,000 dalam operasi semalam.
Penangkapan dan rampasan itu dibuat dalam operasi bersepadu dikenali sebagai ‘Op Gelora’ di sekitar perairan Labuan.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penangkapan itu dilakukan selepas mereka didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram pada 2 petang dengan menggunakan jaring kurang daripada 38mm, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 26 (b) Akta Perikanan 1985 di kawasan Laut Jahat Shoal, perairan Malaysia.
“Kami merampas kapal pukat tunda mereka dengan enjin dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan laut bernilai RM240,000,” katanya. – Bernama