7 nelayan India masih hilang

NEW DELHI, 10 DIS – Tujuh nelayan India masih hilang dalam insiden bot karam di Laut Arab berhampiran pantai negeri Gujarat yang berlaku Jumaat lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai pada hari ini.

Meskipun pengawal pantai India, angkatan bersenjata yang ditugaskan ke kawasan pesisir itu berjaya menemui bot terbabit, masih tiada maklumat mengenai nelayan yang hilang.

“Kami menerima maklumat mengenai sebuah bot karam pada Sabtu lalu yang membawa tujuh nelayan dari sini. Kami telah memaklumkan perkara itu kepada pengawal pantai namun setakat ini tiada maklumat mengenai nelayan yang hilang itu,” kata seorang pegawai kerajaan tempatan di daerah Porbandar.

“Malam tadi kami dimaklumkan bahawa bot itu telah ditemui pengawal pantai berhampiran Gir Somnath namun tiada berita mengenai nelayan yang hilang,” menurut pegawai itu.

Laporan menyebut bot itu belayar pada 3 Disember serta karam pada malam Jumaat, dan pemiliknya telah memaklumkan polis serta jabatan perikanan. – Bernama