HONG KONG, 20 JAN – Tujuh orang merangkumi pekerja dan bekas pekerja bank telah ditahan di Hong Kong dalam operasi besar-besarnya kerana disyaki terlibat sindiket pengubahan wang antarabangsa berjumlah AS$810 juta, kata polis hari ini.
Pegawai polis dari Biro Jenayah Komersial, Superintenden Yip Wing-Iam berkata, ia adalah kes terbesar yang dibongkar polis pada tahun ini sambil menambah, ia adalah kali pertama kakitangan bank ditahan kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Polis bagaimanapun merahsiakan nama bank dan identiti individu yang terlibat.
Para penyiasat berkata, mereka yang ditahan dipercayai membantu anggota sindiket berpangkalan di Hong Kong memohon akaun perniagaan, termasuk memalsukan dokumen syarikat dan melatih pemohon untuk temu duga.
Polis berkata, kira-kira 14 akaun perniagaan dibuka antara tahun 2017 dan 2018 menggunakan 16 nama dari tanah besar China dan Belgium.
Akaun terbabit menguruskan dana haram berjumlah HK$6.3 bilion.
Menurut polis, kebanyakan wang berkenaan dikesan dari beberapa negara termasuk Itali, Jerman dan Vietnam. – AFP






























