7 pelajar disiasat kes rogol, dibebaskan jalani SPM

TAWAU, 17 NOV – Tujuh pelajar lelaki yang ditahan reman bagi siasatan kes rogol akan dibebaskan esok dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata pihaknya telah menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh tahanan reman tujuh pelajar berusia 17 tahun itu yang akan tamat esok.

“Polis juga mengambil kira kesemua mereka ini akan terlibat dengan peperiksaan Sijil SPM tahun ini, kita akan bebaskan mereka dengan jamin polis dahulu.

“Mangsa juga sudah menjalani rawatan pemeriksaan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Fun Ride dan Fun Run PDRM Tawau di sini, hari ini.

Peter berkata pihaknya akan menyiapkan kertas siasatan dan jika terdapat bukti kukuh, pertuduhan akan dilaksanakan dan suspek akan dituduh di mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan selepas peperiksaan SPM tamat.

Semalam media melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di Tawau ditahan reman selama tiga hari, atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah yang sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan. – Bernama