7 pelajar positif influenza, SK Stella Maris ditutup

KOTA KINABALU, 22 JAN – Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris Tanjung Aru di sini ditutup selama seminggu bermula hari ini selepas tujuh pelajarnya disahkan positif Influenza.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata enam daripada pelajar itu diuji positif Influenza A dan seorang pelajar positif Influenza A (H1N1).

Katanya semua pelajar menda-patkan rawatan di hospital swasta dan klinik swasta di sekitar banda raya Kota Kinabalu dan berada dalam keadaan stabil.

Penutupan SK Stella Maris dibuat atas nasihat Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu disebabkan oleh penularan kluster penyakit Influenza A, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menasihati ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka yang sakit ke sekolah untuk mengelakkan berlakunya penularan penyakit ini dalam sekolah. Dalam pada itu, Poon berkata kejadian kes influenza di negeri ini adalah terkawal.

Katanya penyakit influenza A (H1N1) kini merupakan sebahagian daripada virus Influenza bermusim biasa, tidak sebagaimana semasa tahun 2009 ketika berlaku kejadian Pandemik H1N1.

“Berdasarkan trend yang direkodkan dari aktiviti pengawasan, terdapat sedikit peningkatan kes Influenza yang dilaporkan semenjak pertengahan Disember tahun lepas,” katanya.
Namun begitu, katanya, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sentiasa memantau aktiviti influenza sepanjang tahun dan mengesan sekiranya terdapat perubahan luar biasa pada virus influenza ini. – Bernama