7 premis lagi ingkar arahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Tujuh buah premis perniagaan lagi didapati tidak mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dan telah dikenakan denda kompaun keseluruhannya sebanyak $3,000.

Antara kesalahan yang dikenakan kompaun semasa operasi berkenaan ialah tidak memakai penutup hidung dan mulut bagi pengendali dan penyedia makanan, tukang gunting rambut dan salon kecantikan dan kesihatan, tidak ada pemeriksaan suhu badan serta tidak menggunakan kod QR BruHealth.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, kesalahan itu didapati semasa Operasi Merati yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan dari 7 hingga 13 September di premis-premis perniagaan di keempat-empat daereah.

Semasa operasi itu, sebanyak 90 buah premis perniagaan telah diperiksa dengan operasi berkenaan dikendalikan di kawasan-kawasan perniagaan di Daerah Brunei Muara iaitu Rimba, Sengkurong, Serusop, Lambak, Pengkalan Gadong dan Masjid Salambigar, di Daerah Belait iaitu Pekan Belait dan Masjid Lorong 3 Seria, di Daerah Tutong iaitu Kampung Kupang, Lamunin dan Telisai serta di Daerah Temburong iaitu Pekan Bangar dan Kampung Rataie.

Kenyataan menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan orang ramai terutama bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya khususnya untuk memastikan pengendali, penyedia makanan dan kakitangan mereka memakai penutup hidung dan mulut.

Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.