7 Rohingya ditembak mati dekat kem pelarian

COX’S BAZAR, BANGLADESH, 2 MAC – Polis elit Bangladesh hari ini menembak mati tujuh suspek gengster Rohingya yang terlibat dalam dadah dan penyeludupan manusia, kata jurucakap bagi pasukan tentera.

Ketegangan meningkat di selatan-timur Bangladesh selama dua setengah tahun selepas ratusan ribu pelarian Rohingya melarikan diri daripada tindakan ganas tentera di Myanmar.

Pertempuran terbaharu itu muncul selepas pertambahan dalam penyeludupan manusia baru-baru ini ketika geng-geng memujuk pelarian menaiki bot nelayan usang bagi perjalanan berbahaya ke Malaysia.

Batalion Tindak Pantas (RAB) berkata ia terlibat dalam kejadian berbalas tembakan bersama anggota kumpulan bandit yang diketuai oleh ketua geng Rohingya dikenali sebagai Zokir.

“Setakat ini kami telah menemui tujuh mayat dengan luka peluru,” kata jurucakap RAB, Abdullah Sheikh Sadi kepada AFP.

Tambahnya ia masih belum jelas jika Zokir antara yang terkorban. – AFP