7 syarikat meterai perjanjian penyewaan inkubasi belia PPB

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Tujuh buah syarikat inkubator telah menandatangani perjanjian penyewaan inkubasi belia bersama Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat At-Taufiq, KKBS, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Majlis penandatanganan penyewaan inkubasi belia berkenaan adalah kesinambungan daripada majlis penyerahan geran mikro yang telah dilaksanakan pada 3 Oktober 2020 di bawah Program Inkubasi PPB.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Kemari Farm Enterprise, Cerita Fabrikku, Siege Pollyfox Enterprise, Perusahaan Mazroni BKP dan Rakan-rakan, BARBERKU, Gentleman Stitch Enterprise dan KOPPB Minimart.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPB, Program Inkubasi PPB telah bermula sejak 2019 dengan memberikan kemahiran kepada golongan sasaran dan seterusnya insentif geran mikro serta tempat berniaga bagi para belia yang memilih keusahawanan sebagai trajektori kerjaya mereka.

Antara tujuan insentif geran mikro itu adalah untuk memberikan bantuan kewangan kepada para usahawan belia serta golongan sasaran untuk memulakan perniagaan, menyuntik semangat para usahawan belia dan golongan sasaran untuk memilih bidang keusahawanan sebagai bidang kerjaya mereka; dan menggunakan platform-platform yang telah disediakan oleh pihak kementerian untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan dengan bayaran kadar rendah.

Gambar ramai selepas majlis penandatanganan perjanjian berkenaan. – Gambar serahan PPB