70.5 peratus sudah terima satu dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Program Vaksinasi Kebangsaan terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 7,116 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 kelmarin (6 Oktober), menjadikan seramai 319,711 orang telah menerima satu dos vaksin iaitu 70.5 peratus jumlah penduduk negara.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam kenyataannya pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Manakala, 206,482 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 45.5 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah Yang Berhormat Dato.

Oleh yang demikian, sebanyak 526,193 jumlah keseluruhan suntikan vaksin COVID-19 telah diberikan sejak 3 April 2021.

Daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 344,728 suntikan.

Manakala Daerah Belait mencatatkan sebanyak 66,181 suntikan; Daerah Tutong mencatatkan 59,483 suntikan; manakala Daerah Temburong sebanyak 55,801 suntikan.