70 kes baharu dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 70 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 14,771 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa terdapat tambahan 18 kes baharu kepada tujuh kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 26 kes.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani.

“Salah satu daripada kluster baharu ini ialah kluster kediaman, satu lagi ialah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat iaitu Kluster Borneo Air Conditioning & Engineering staff house manakala Kluster Pasar Pantai Jerudong adalah kluster tempat awam,” jelas beliau.

Enam kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari, iaitu Kluster 4524, Kluster 7618, Kluster 8308, Kluster 9076, Kluster 12021 dan Kluster 12057, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 142 kluster.

Manakala itu, terdapat 26 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Beliau turut mengongsikan bahawa 48 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh di negara kepada 14,210 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 462 kes.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa empat kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

Sementara itu, satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,872 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 596,498 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menasihatkan orang ramai bahawa melindungi diri dengan pengambilan vaksin adalah kaedah paling efektif dalam membendung penularan wabak COVID-19, di samping mengamalkan langkah-langkah pencegahan lain seperti memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri, mengamalkan etika bersin dan batuk yang betul serta melakukan penjarakan sosial dengan teranah di rumah. Beliau juga menyeru orang ramai untuk melaksanakan peranan masing-masing serta berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.

“Mudah-mudahan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan rahmat dan kesejahteraan serta terselamat dari kemudaratan wabak COVID-19,” tambah beliau.