70 maut dalam pengeboman

JALALABAD, Afghanistan, 12 Sept – Sekurang-kurangnya 70 orang awam terbunuh manakala lebih 250 lagi cedera dalam insiden serangan bunuh diri yang menyasarkan satu perhimpunan aman di wilayah Nangarhar di timur Afghanistan, lapor agensi berita China Xinhua hari ini memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan.

Pegawai itu, yang enggan identitinya didedahkan, berkata pengganas terbabit telah menyamar sebagai seorang penunjuk perasaan dan meletupkan bahan letupan yang dipakainya ketika berada dalam kalangan penunjuk perasaan lain, yang meragut nyawanya dan 70 yang lain dan menyebabkan sejumlah 258 orang cedera kelmarin.

Insiden berlaku ketika beratus-ratus orang dari daerah Mohmandara dalam wilayah Nangarhar mengadakan satu perhimpunan di jalan utama yang menghubungkan ibu kota wilayah Jalalabad dengan pekan sempadan Torkham.

Penunjuk perasaan menuduh seorang pegawai polis tempatan menyalahgunakan kuasa dan mendesak kerajaan untuk memecat serta menghukum beliau ketika letupan itu berlaku.

Sementara itu, jurucakap kerajaan wilayah Nangarhar, Attaullah Khogiani, memaklumkan Xinhua bahawa 68 orang maut manakala 165 lagi cedera dan berkata butiran lanjut akan dikeluarkan selepas siasatan selesai.

Orang ramai membawa mangsa yang cedera untuk mendapatkan rawatan segera sehari selepas serangan maut yang menyasarkan penunjuk perasaan di daerah Mohmand Daara di wilayah Nangarhar, Kalalabad kelmarin. – AFP

Manakala, laporan AFP menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Nangarhar mengesahkan jumlah tersebut.

Tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Namun, para pegawai tempatan dan orang awam tidak menolak pembabitan kumpulan pengganas Daesh dalam apa yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai itu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengutuk serangan di wilayah Nangarhar itu.

Orang awam selalunya menjadi mangsa dalam konflik di Afghanistan yang menyaksikan sejumlah 1,692 terbunuh manakala 3,430 lagi cedera dalam separuh pertama tahun ini, menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Misi Bantuan PBB di Afghanistan. – Bernama/AFP