70 penghuni hilang tempat tinggal

MIRI, 9 Jan – Seramai 70 penghuni perkampungan setinggan di Kampung Muhibbah, Kuala Baram tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran pada awal pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kong berkata 70 penghuni itu membabitkan 13 rumah yang terbakar dan tiada mangsa tercedera.

“Punca kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata bomba menerima panggilan pada 2:09 pagi mengenai kebakaran tersebut dan apabila sampai ke lokasi, mengalami kesukaran memadamkan api kerana tiada pili bomba berhampiran.

Beliau berkata pusat sehenti untuk membantu mangsa kebakaran telah ditubuhkan di Balai Raya Baru Kampung Muhibbah Kuala Baram untuk memudahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan. – Bernama