70 peratus kawasan Labuan zon hijau

LABUAN, 21 APRIL – Zon kecil 1 dan 2 Labuan yang merangkumi 70 peratus daripada jumlah kampung dan kawasan perumahan di pulau itu diisytihar sebagai zon hijau COVID-19.

Zon kecil 1 di pusat bandar terdiri daripada kampung-kampung air seperti Kampung Patau-Patau 1 dan 2, Kampung Gersik/Saguking, Kampung Batu Arang, Kampung Sungai Keling, Jalan OKK Abdullah, Jalan Tun Mustapha dan Kampung Rancha-Rancha menjadi zon hijau selepas enam kes aktif di sana telah pulih.

Tiga kes aktif di kawasan zon kecil 2 juga sudah pulih. Lokasi itu merangkumi kawasan perumahan di Jalan Bukit Timbalai (Taman Mahkota Impian), Kampung Sungai Miri, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Lada, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan/Pulau Akar, Kampung Layang-Layangan, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Bangat, Kampung Belukot dan Kampung Bukit Kalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Dr Fary Akmal Osman dalam sidang media mingguan mengenai COVID-19 di sini hari ini berkata kawasan zon kecil 3 pula kekal sebagai zon kuning kerana masih ada tiga kes aktif yang sedang dirawat. – Bernama

Zon kecil 1 dan 2 Labuan yang merangkumi 70 peratus daripada jumlah kampung dan kawasan perumahan di pulau itu diisytihar sebagai zon hijau COVID-19 selepas enam kes aktif di sana pulih. – Bernama