Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Untuk meneroka peluang kerjasama dan pelaburan dengan perniagaan tempatan, kira-kira 130 orang ahli perniagaan China yang mewakili 70 buah syarikat besar akan mengambil bahagian dalam Pameran Brunei Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2017 yang bakal bermula esok hingga 6 Mei di Dewan BRIDEX, Jerudong.
Syarikat-syarikat China yang akan mempamerkan perkhidmatan dan produk mereka terdiri daripada Guangxi Investment Group International Co Ltd, Muara Port Sdn Bhd, Guangxi Wu Zhou Tian Mei E-Commerce Co Ltd, Liu Zhou Ou Mei Mu Co Ltd, Wu Chou Shen Guan Company, pengeluar Guangxi Bei Liu Zhong Li Porcelain serta Ning Bo Hai Ding Trading Co Ltd dan lain-lain.
Perkara berkenaan diketengahkan ahli-ahli sekretariat CAEXPO pada majlis makan malam bersama media tempatan di salah sebuah restoran di Gadong, malam tadi.
Gabenor Rantau Berautonomi Zhuang, Guangxi, Republik Rakyat China, Chen Wu dijangka menyempurnakan pelancaran pameran berkenaan, esok.
Sehubungan itu, orang ramai terutama perniagaan tempatan dialu-alukan untuk mengunjungi pameran berkenaan yang akan dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam.
Menurut sekretariat CAEXPO, Brunei Darussalam akan menjadi Negara Kehormat CAEXPO ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 September depan, yang mana ini merupakan kali kedua Brunei Darussalam akan menjadi Negara Kehormat.
Tahun 2017 juga akan menjadi tahun Kerjasama Pelancongan China-ASEAN, yang mana Brunei boleh melanjutkan serta meningkatkan produk pelancongan di ekspo berkenaan.
Sementara itu, China City of Charm akan mengadakan pameran khas iaitu Ningbo.
Ahli-ahli sekretariat juga menekankan bahawa Brunei Darussalam juga akan mengambil bahagian dalam 21st Century Maritime Silk Road dan inisiatif Silk Road Economic Belt.