700 jatuh sakit akibat keracunan makanan

AMMAN, 29 JULAI – Keracunan makanan beramai-ramai di Jordan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 700 orang jatuh sakit dan membunuh seorang kanak-kanak, kesemua mereka memakan shawarma harga diskaun dari sebuah restoran di luar Amman, kata kementerian kesihatan hari ini.

Pemilik restoran yang menjual kebab popular dan snek roti di daerah Baqa di barat laut ibu negara telah ditahan, lapor media tempatan.
“Seorang budak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia akibat keracunan,” kata kementerian dalam satu kenyataan, menambah sekurang-kurangnya 100 orang telah dimasukkan ke hospital pada pagi semalam sebelum jumlah mencecah 700 pagi ini.

“Ujian makmal yang dijalan-kan oleh kumpulan siasatan khas dari Pentadbiran Makanan dan Ubat Am menunjukkan bakteria dalam daging dan haiwan ternakan.”

Tawaran istimewa daging shawarma untuk satu dinar Jordan, atau kira-kira separuh daripada harga biasa, telah mendorong ramai orang ke restoran itu, kata laman berita tempatan.

Satu gelombang haba telah melanda Jordan dalam beberapa hari ini, dengan suhu di Amman melebihi 40 darjah Celsius. – AFP