KINABATANGAN, 4 Jan – Felcra Berhad mengagihkan bantuan makanan kepada 700 mangsa banjir di Kampung Pinangah dan Sabuan di Tongod, hari ini.
Ia disampaikan oleh Pengerusinya yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bantuan makanan itu membabitkan 400 mangsa banjir di Kampung Pinangah dan 300 lagi di Kampung Sabuan.
Ketika ditemui pemberita pada majlis pengagihan di Kampung Pinangah, Bung Moktar berkata bantuan makanan ini untuk meringankan beban penduduk di dua kampung itu yang terjejas banjir baru-baru ini.
Katanya Felcra Berhad juga sedang dalam jelajah program penyampaian peralatan sekolah di Tongod tetapi ditangguhkan disebabkan banjir.
Menurutnya pengagihan bantuan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat Felcra kepada masyarakat yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk kampung di sekitar Kinabatangan supaya menjaga keselamatan ketika banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara sekiranya keadaan memerlukan. – Bernama