7,000 anak Sarawak dijangka pulang secara berperingkat mulai 1 Mei

KUCHING, 26 APRIL – Sejumlah 7,000 anak Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia dan terkandas di sana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas akan dibawa pulang ke negeri ini secara berperingkat mulai 1 Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan sedang mengumpul maklumat terperinci setiap pelajar daripada Kemente-rian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Pendidikan Guru dan Kolej Mara.

“Maklumat terperinci ini penting untuk kita mengenal pasti di mana pelajar itu belajar, tinggal dan hendak balik ke mana (destinasi di Sarawak),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas COVID-19 bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini.

Menurut beliau, kumpulan pelajar ini akan dipecahkan kepada empat zon, melibatkan mereka yang belajar di Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan) akan balik melalui Terengganu, zon tengah (Pahang, sebahagian Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) melalui KLIA, Zon Selatan dari Johor Bahru manakala Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian dari Perak) dari Pulau Pinang.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata setibanya di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari. – Bernama

Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengemas pakaian ketika membuat persiapan awal sebelum mendapat kebenaran untuk pulang ke kampung halaman selepas tinggal di asrama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran COVID-19 ketika tinjauan di Kolej Kediaman UMK Kampus Kota Taman Bendahara Pengkalan Chep, kelmarin.
- Bernama