7,000 hektar hutan terbakar

LISBON, 23 JULAI – Ratusan anggota bomba Portugis yang dibantu oleh hujan semalaman mendapat kekuatan untuk mengatasi kebakaran besar yang melanda sebuah rantau pusat selama empat hari dan berkata mereka berharap dapat mengawalnya hari ini.

Kebakaran yang membadai rantau berhutan Castelo Branco, 200km dari utara Lisbon itu telah membakar kawasan yang luas dan meninggalkan jejak-jejak hitam kemusnahan.

“Ia adalah usaha berterusan. Kita akan cuba menamatkan tugas itu pagi ini,” kata Komander Agensi Perlindungan Awam Portugal, Luis Belo Costa kepada sidang berita.

“Tugas yang dilakukan sepanjang malam telah membuahkan hasilnya,” katanya, menambah bahawa anggota bomba telah berjaya menghentikan kemaraan api di kawasan yang sukar didatangi.

Kira-kira 7,000 hektar (17,300 ekar) sejauh ini telah terbakar, menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, Kesatuan Eropah (EU).

Seorang anggota bomba memegang hos semasa operasi memadam kebakaran hutan di kampung Casais de Sao Bento di Macao, tengah Portugal pada 22 Julai. – AFP

Hujan semalaman telah meningkatkan paras kelembapan udara, membantu mengatasi kebakaran.

Namun Costa memberi amaran angin dijangka akan bertiup kencang pada petang dan suhu membahang turut diramalkan, yang boleh menghambat tugas tersebut.

Agensi Perlindungan Awam Portugal berkata pagi semalam kebakaran sudah ’90 peratus dikawal’, namun angin kencang memarakkan semula kebakaran pada petangnya.

Lebih 1,200 anggota bomba masih dikerahkan untuk menangani kebakaran itu, kata agensi dalam laman webnya hari ini.

Seramai 39 orang termasuk beberapa anggota bomba cedera sejak kebakaran itu meletus pada Sabtu, dengan ramai daripadanya tersedut asap, tambahnya. – AFP