70,000 buah rumah dibanjiri, 6 terkorban

BANGKOK, 28 SEPT – Pihak berkuasa Thailand, hari ini, bergegas untuk melindungi beberapa bahagian Bangkok daripada banjir yang telah menenggelami 70,000 rumah dan meragut enam jiwa di wilayah-wilayah utara dan tengah negara itu.

Ribut tropika Dianmu telah menyebabkan bencana banjir di 30 wilayah, dengan rantau tengah paling teruk terjejas, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand.

Paras Sungai Chao Phraya, yang merentasi Bangkok selepas mengalir berliku-liku hampir 400 kilometer (km) dari utara, terus meningkat apabila pihak berkuasa melepaskan air dari empangan di hilir sungai. Hari ini, anggota tentera mendirikan penghadang dan guni-guni pasir untuk melindungi runtuhan purba dan mercu tanda serta kejiranan-kejiranan di ibu kota diraja lama Ayutthaya, kira-kira 60km ke utara Bangkok.

Terdapat harapan bahawa Bangkok dapat mengelakkan ulangan bencana musim monsun 2011, apabila ia mengalami banjir paling buruk dalam tempoh berdekad-dekad, di mana satu perlima bandar itu dibanjiri dan lebih 500 orang terbunuh.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok menyatakan bahawa mereka memantau paras air Sungai Chao Phraya dan telah mempersiapkan pam air dan guni-guni pasir.

“Kami akan mengeluarkan amaran kepada orang awam jika terdapat tanda bahawa paras air meningkat dan jika terdapat risiko banjir kilat,” gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang berkata, hari ini. – AFP

Seorang penduduk meredah banjir di luar rumahnya di kawasan kejiranan wilayah Ayutthaya tengah Thailand pada 28 September. – AFP