71.9 peratus lengkap vaksinasi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Seramai 7,307 orang di seluruh Negara Brunei Darussalam telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (16 November).

“Ini termasuk 3,178 daripada golongan remaja berumur 12-17 tahun,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dengan jumlah tersebut, seramai 390,657 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 90.9 peratus daripada jumlah penduduk negara di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

“Manakala, 308,965 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 71.9 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Dato Dr Haji Mohd Isham.

Sehubungan itu, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 699,622 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei Muara mencatatkan jumlah pemberian tertinggi berbanding dengan daerah-daerah lain iaitu sebanyak 451,741 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 91,199 jumlah pemberian.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 80,792 jumlah pemberian dan Daerah Temburong sebanyak 75,890 jumlah pemberian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani