71 kes baharu dicatatkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 71 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 14,701 orang.

“Terdapat tambahan 37 kes baru kepada 10 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa terdapat empat kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 21 kes.

“Kluster-kluster baharu ini adalah kluster kediaman di mana dua daripadanya iaitu Kluster LKH Sdn Bhd dan Kluster Mah Mega Dormitory adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas beliau.

Enam kluster pula telah diisytiharkan tamat setelah tidak ada kes dikesan selama 28 hari iaitu Kluster Pasar Gadong, Kluster 9012, Kluster 9627, Kluster 10625, Kluster 11942 dan Kluster Negalang Unat Site, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 145 kluster.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan ketika sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Manakala itu, terdapat 13 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, 55 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh di negara ini kepada 14,162 kes dengan 441 kes aktif.

Dalam kalangan kes-kes yang dalam rawatan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa lima kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” katanya.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,860 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 592,626 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama mendoakan kesihatan dan keselamatan semua barisan hadapan yang selama ini tidak kendur-kendur menyumbangkan tenaga, masa dan kudrat dalam mengharungi cabaran jangkitan wabak COVID-19.

“Mudah-mudahan mereka ini sentiasa dirahmati, diberikan kesabaran dan ketabahan serta dikurniakan balasan yang setimpal dari Allah SWT jua di atas segala jasa yang telah disumbangkan,” tambah beliau.