718 Cayman GT4 RS di Pameran Auto LA

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Porsche bakal memperkenalkan model mewah 718 baharu iaitu 718 Cayman GT4 RS, yang telah menunjukkan potensi dinamik yang mengagumkan semasa pandu uji dan penilaian akhir, pada Pameran Auto LA di Los Angeles, California, Amerika Syarikat, bermula esok hingga 28 November depan.

Menurut kenyataan Porsche yang dikongsikan QAF Euro-kars, ciri biasa RS termasuk lebih berkuasa berbanding model GT4, sementara beratnya telah dikurangkan lagi.

Model ini mampu melengkapkan pusingan sejauh 20.6km di litar Nurburgring-Nordschleife dalam masa hanya 7:04:511 minit, iaitu 23.6 saat lebih pantas daripada 718 Cayman GT4 yang dilengkapi transmisi dwi klac Porsche (PDK).

Pada masa yang sama, versi perlumbaan 718 Cayman GT4 RS Clubsport juga akan membuat penampilan sulung di LA.

Kenyataan menyatakan, kereta sport elektrik Taycan akan menjadi tumpuan di dua tayangan perdana dunia, varian pemanduan baharu yang sangat dinamik diletakkan di antara Taycan 4S dan Taycan Turbo, dan gaya badan ketiga akan didedahkan kepada umum buat kali pertama di California.

Keluarga Panamera juga mendapat tambahan baharu di mana Porsche melancarkan siri khas dengan peralatan ultra-kualiti tinggi dengan Edisi Platinum.

Pelancaran kelima-lima tayangan perdana dunia berlangsung pada 17 November.

Model 718 Cayman GT4 RS yang bakal diperkenalkan pada Pameran Auto LA. – Gambar serahan QAF Eurokars