73.4% sudah terima vaksin COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Seramai 5,195 orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan seluruh negara, kelmarin (11 Oktober 2021).

“Ini bermakna, seramai 333,141 orang telah pun menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 73.4 peratus daripada jumlah penduduk negara,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

“Manakala itu, seramai 214,073 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 47.2 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambahnya.

Dengan yang demikian, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 547,214 jumlah keseluruhan suntikan COVID-19 sejak 3 April lalu. Daripada jumlah tersebut, Daerah Brunei dan Muara telah mencatatkan jumlah suntikan tertinggi iaitu sebanyak 356,605 suntikan.

Daerah Belait pula mencatatkan sebanyak 69,246 suntikan, Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 62,702 suntikan, manakala Daerah Temburong sebanyak 58,661 suntikan.