Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    73 lemas, bot bawa migran karam

    DAMASCUS, 23 SEPT – Sekurang-kurangnya 73 migran lemas apabila sebuah bot yang mereka naiki di Lubnan karam di pantai Syria, menurut kenyataan kementerian kesihatan Syria hari ini, kejadian kapal karam terburuk di Lubnan sejak beberapa tahun kebelakangan.

    Lubnan, yang dilanda krisis kewangan sejak 2019 dan disifatkan oleh Bank Dunia sebagai salah satu yang terburuk pada zaman moden, menjadi tempat tumpuan untuk migran haram, dengan penduduknya sendiri menyertai pelarian dari Syria dan Palestin untuk meninggalkan negara.

    Kira-kira 150 orang, kebanyakannya dari Lubnan dan Syria, menaiki bot kecil yang karam kelmarin di Lautan Mediterranean di luar bandar Tartus, Syria.

    “Jumlah mangsa dari kapal karam itu mencecah 73 orang,” kata Menteri Kesihatan Syria, Hassan al-Ghabash, menambah kira-kira 20 orang yang terselamat sedang dirawat di hospital di Tartus.

    Antara yang diselamatkan, lima adalah warga Lubnan, menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Lubnan, Ali Hamie kepada AFP.

    “Saya sedang berbincang dengan menteri pengangkutan Syria mengenai cara untuk membawa pulang mangsa dari Syria,” kata Hamie.

    Tartus merupakan bandar pelabuhan utama Syria di bahagian selatan, dan terletak kira-kira 50 kilometer ke utara bandar pelabuhan Tripoli di Lubnan, di mana para penumpang menaikinya.

    “Kami berdepan dengan salah satu operasi menyelamat terbesar,” kata Sleiman Khalil, pegawai di kementerian pengangkutan Syria kepada AFP.

    “Ia meliputi kawasan yang besar merangkumi seluruh pantai Syria,” tambahnya, dan berkata ombak besar menjadikan tugasan mereka semakin mencabar. – AFP

    Anggota penyelamat berusaha mencari mangsa selepas sebuah bot yang dinaiki migran karam di pantai Syria, kelmarin. – AFP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...