73 pegawai kadet ABDB ditauliahkan

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi, berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-18, Sekolah Pegawai Kadet (OCS) yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Seramai 73 terdiri daripada 54 lelaki dan 19 wanita pegawai kadet telah ditauliahkan pada upacara berkenaan dengan 39 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 21 sebagai pegawai Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan 13 sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Sejurus keberangkatan tiba, Baginda berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan sterusnya memeriksa pasukan perbarisan di bawah perintah Pegawai Perbarisan, 1085 Kapten Abdul Qahhar bin Haji Abdul Mulok sebelum disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh pegawai-pegawai kadet.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bagi memeriksa pasukan perbarisan semasa Upacara Sovereign’ Parade di Padang Kawad Akademi Pertahanan ABDB, kelmarin.
Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima Tabik Hormat Diraja.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para pegawai kadet pengambilan ke-18.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Terbaik Ketahanan La-tihan Jasmani kepada Pegawai Kadet Mohammad Zulfitri.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera kepada Pegawai Kadet Awangku Waffauddin.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet (U) Muhammad Ghazali.
Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar bersama salah seorang pegawai kadet dan keluarga semasa majlis junjung ziarah.
DYTM Paduka Seri 920 Kapten (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan dijunjung bergambar ramai bersama pegawai kadet berserta keluarga.

Perbarisan lalu para pegawai kadet pengambilan ke-18 pada Upacara Sovereign’s Parade, kelmarin.

Semasa upacara berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dan diikuti dengan pengurniaan anugerah-anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik bagi pengambilan ke-18, yang melaksanakan dengan terbaik dalam pelbagai bidang di sepanjang kursus.

Pengurniaan anugerah didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada 53240 Pegawai Kadet (U) Wan Muhammad Hijazi bin Haji Yussof yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian dalam Kejuruteraan Aeroangkasa dari University of the West of England, Bristol, United Kingdom.

Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan tertinggi kepada pegawai kadet yang dikurniakan oleh Baginda dan merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

Baginda seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada 53242 Pegawai Kadet (U) Muhammad Ghazali bin Haji Suhaili yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Geologi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Anugerah berkenaan diberikan berdasarkan keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan kursus diadakan.

Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada 53205 Pegawai Kadet Awangku Waffauddin bin Pengiran Ismail yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda
Sains dengan Kepujian dalam Kimia dari UBD.

Pengurniaan anugerah ini adalah berdasarkan kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.

Manakala itu, 53249 Pegawai Kadet Mohammad Zulfitri bin Haji Zoferi, yang berkelulusan Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Ugama (Syariah), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang pegawai kadet dalam latihan jasmani.

Upacara disusuli dengan laungan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ sebanyak tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti dengan bacaan doa oleh Ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

Kemudian, upacara diteruskan dengan majlis junjung ziarah daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan serta keluarga masing-masing yang didahului oleh dua orang pegawai kadet professionally qualified officer yang telah menamatkan latihan selama tiga bulan di OCS pada 3 Mei 2019.

Selain itu, Baginda juga berkenan menerima pesambah daripada pegawai-pegawai kadet pengambilan ke-18 yang bertemakan ‘Tatwir Ar-raes’, bermaksud ‘Perkembangan Pemimpin’ sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

Sovereign’s Parade adalah acara kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi OCS ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baharu ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.

Kursus selama 52 minggu itu telah bermula pada 29 Januari 2019, yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.