Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 74 orang pegawai Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2022 yang dilantik telah mengangkat sumpah pada majlis yang diadakan di Dewan Israq, Institut Perkhidmatan Awam, Jalan Kampung Rimba, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Fiskal I) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Norliah binti Haji Kula yang dalam ucapan alu-aluannya menekankan komitmen pegawai kajian yang terlibat serta sokongan dan kerjasama semua keluarga yang terpilih untuk memberikan maklumat yang tepat dan lengkap bagi menjayakan kajian ini.
KTK 2022 yang dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan bermula hari ini hingga 11 Disember 2022. Hasil KTK 2022 ini akan membantu perancangan, penyelidikan, dan penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja berasaskan fakta bagi keperluan perancangan sosioekonomi negara serta kegunaan sektor swasta, akademia, penyelidik, penuntut dan orang ramai.
Antara tujuan lain KTK adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan dan penyediaan dasar tenaga kerja.
Kajian ini turut melibatkan kira-kira 3,200 buah keluarga yang terpilih di seluruh negara dan temu duga akan dilaksanakan menggunakan kaedah Computer Assisted Personal Interview (CAPI), di mana pegawai kajian menggunakan tablet bagi menjalankan temu duga bersemuka dengan keluarga terpilih.