75.3% sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan seramai 341,702 orang atau 75.3 peratus yang telah menerima satu dos vaksin setelah 8,022 lagi menerima suntikan, kelmarin, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan.

“Sementara itu, 230,863 sudah pun melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 50.9 peratus daripada jumlah penduduk negara,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media, hari ini.

Sehubungan dengan itu, jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin ialah sebanyak 572,565 sejak 3 April 2021 di mana Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian vaksin COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 369,114, Daerah Belait sebanyak 72,339; Daerah Tutong sebanyak 66,614; dan Daerah Temburong sebanyak 64,498.