Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Sebanyak 75 anak pokok telah ditanam pada Acara Penanaman Pokok di Pantai Berakas sempena 75 Tahun Kemerdekaan India seterusnya bagi meraikan Hari Belia Kebangsaan India sebagai sebahagian daripada Azadi ka Amrit Mahotsav, hari ini.
Acara yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam itu dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku presiden Majlis Belia Brunei.
Turut menyertai dalam acara tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab yang mewakili kerajaan Brunei dengan disaksikan oleh 70 peserta.
Dalam ucapannya, Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar me-ngucapkan terima kasih kepada KSSUP atas sokongan dan bantuan mereka dan membenarkan pihak suruhanjaya menganjurkan acara berkenaan dengan jayanya. Beliau khususnya merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai kementerian itu kerana memudahkan kerja mengecat mural pokok beringin yang dilakukan di Kanopi Komanwel.
Tuan Yang Terutama menjelaskan bahawa pokok beringin adalah pokok kebangsaan India selain ia juga dikaitkan dengan kemakmuran.
Menyentuh mengenai kepentingan Hari Belia Kebangsaan, Tuan Yang Terutama berkata bahawa pada 1984, kerajaan India telah mengambil keputusan untuk meraikan hari lahir ahli falsafah India yang hebat dan berwawasan, Swami Vivekananda pada 12 Januari sebagai Hari Belia Kebangsaan.
“Penanaman 75 anak pokok, Suruhanjaya Tinggi bekerjasama dengan kerajaan dan rakyat Brunei, secara kecil-kecilan, untuk memastikan kejayaan Wawasan Brunei 2035 iaitu Brunei Hijau dengan menanam 500,000 pokok,” tambahnya.