Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Sebanyak 76 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,641 orang.
Sementara itu, terdapat satu kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 46 orang.
Kluster baharu tersebut ialah Kluster 1848 yang mengandungi 14 kes yang mana empat daripadanya adalah kes-kes yang baharu dikesan hari ini, manakala selebihnya adalah kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenalpasti sumber jangkitannya.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan
COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menjelaskan terdapat 27 tambahan kes-kes baharu kepada tujuh kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, sebanyak 45 kes masih dalam siasatan bagi mengenal-pasti sumber jangkitan.
Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu sedang giat dijalankan dan kesemua kontak terdekat yang dikenalpasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.
“Dalam pada itu, 111 kes telah disahkan sembuh pada hari ini membawa kepada jumlah kes yang sembuh kepada sebanyak 836 kes. Ini bermakna pada ketika ini, terdapat 1,794 kes aktif di Negara Brunei Darussalam,” jelas Yang Berhormat Dato.
Menurutnya, dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, tujuh kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana enam daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
“Sementara itu, 33 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan intensif bagi pemantauan rapi,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,811 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 228,841 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.
Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Bulabn Sabit Merah Brunei atau e-mel kepada askhal@moh.gov.bn.