78 lagi kesalahan tembakau dikesan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Sejumlah 78 kesalahan di bawah Perintah Tembakau 2005 telah dicatatkan bagi bulan November tahun ini yang mana 76 pesalah adalah lelaki manakala dua lagi wanita.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, hari ini, kesalahan-kesalahan tersebut termasuk 75 kesalahan merokok di tempat yang ditegah, satu kesalahan larangan penjualan produk tembakau tiruan, satu kesalahan merokok di kalangan remaja di bawah umur 18 tahun dan satu kesalahan larangan ke atas iklan yang berkaitan dengan rokok.
Kesemua mereka telah dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perintah Tembakau 2005.

Dalam pada itu, 25 kesalahan daripada 78 kesalahan yang dicatatkan tersebut adalah hasil daripada ‘Ops Pajah’ iaitu operasi bersepadu Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan Unit Operasi, Bahagian Komersial dan Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang telah dijalankan sepanjang bulan November 2019 di kawasan Menglait, Kiarong, Jerudong dan juga di Pasar Pelbagai Barangan Gadong serta Pasar Jerudong.

Pada masa yang sama, pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pula telah mencatatkan sebanyak 20 tangkapan di bawah Perintah Eksais 146 (1) (d) iaitu membawa masuk rokok tanpa bukti pembayaran cukai.

Jika sabit kesalahan, denda minimum sebanyak $5,000 akan dikenakan ke atas pesalah yang membawa rokok seludup atau pesalah gagal memberikan bukti pembayaran cukai rokok yang dimilikinya.

Ops Pajah akan diteruskan lagi pada bulan Disember ini.

Kementerian Kesihatan sangat mengalu-alukan aduan daripada orang ramai dalam usaha membanteras kesalahan yang dilakukan di bawah Perintah Tembakau 2005 dengan menghubungi Unit Penguatkuasaan Kesihatan di talian hotline 7192005 atau e-mel kepada [email protected]