Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 9 Ogos – Sebanyak 78 pain darah telah berjaya dikumpulkan melalui kempen derma darah anjuran bersama Pusat Pendermaan Darah Kementerian Kesihatan dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) yang diadakan di Dewan Serba Guna IBTE SBC, di sini, hari ini.
Seramai 133 orang telah mendaftar untuk menderma darah tetapi lebih lima puluh orang terpaksa ditolak disebabkan keadaan tidak layak kesihatan. Sumbangan darah tersebut telah melibatkan penyertaan penderma yang berusia antara 17 hingga 50 tahun dalam kalangan warga institut berkenaan dan kempen tersebut yang dihasratkan untuk membantu menambahkan simpanan darah telah diadakan kira-kira lima jam bermula 9 pagi.
Terdapat kalangan pelajar yang menyertai derma darah itu buat pertama kalinya melahirkan rasa agak takut tetapi akhirnya merasakan ia sangat menyeronokkan dan bertekad untuk menyertai lagi mana-mana kempen selepas ini.
Sementara itu, ramai juga kalangan peserta sudah beberapa kali menyertai kempen derma darah dan merasakan ia amat baik untuk kesihatan diri sendiri terutama sekali manfaat mencuci darah dalam badan dan sebagainya.

Untuk kesihatan bersama, seperti lazimnya semua penderma akan diperiksa dulu dari segi kelayakan kesihatan mereka, selepas itu akan diberikan makanan yang sihat yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.
Kempen yang diadakan di IBTE SBC itu dijangka akan diteruskan lagi sebagai sebahagian daripada inisiatif institut tersebut dalam membantu pihak hospital dalam usahanya menambah simpanan darah secara berterusan untuk keperluan para pesakit yang memerlukannya pada bila-bila masa.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kalangan pelajar institut itu termasuk warga sekolah lain akan pentingnya melibatkan diri dalam kerja amal menyumbangkan darah bagi menyelamatkan nyawa mereka yang sangat memerlukannya di negara ini.