780 anak-anak yatim terima sumbangan infak ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Hotel Antarabangsa Rizqun dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Majlis Infak Ramadan dengan menyumbangkan sebanyak 780 bungkus beras kepada seramai 780 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim dari sekolah-sekolah agama di seluruh negara, hari ini.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Pentadbiran Abdul Razak Holdings, Haji Awang Suhaimei bin Haji Besar kepada wakil-wakil guru sekolah agama dari ke-empat-empat daerah.

Ketua Bahagian Sekolah Ugama di JPI, Awang Mohammad Ahsanul Azmi bin Haji Sarbini menyampaikan penghargaan pihak JPI atas kerjasama yang dilaksanakan oleh Hotel Antarabangsa Rizqun dalam sama-sama menggembleng tenaga membuat perkara berkebajikan iaitu memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

“Setiap tahun pihak Rizqun tidak pernah melupakan anak-anak yatim di bawah pengendalian pihak JPI dengan mengadakan Majlis Berbuka Puasa di hotel berkenaan. Akan tetapi dengan bencana yang melanda dunia iaitu penularan wabak COVID-19, bantuan untuk menggembirakan anak-anak yatim berkenaan diubah sedikit dengan sumbangan beras Sembada kepada 780 orang yang terpilih,” jelasnya.

Majlis Infak Ramadan anjuran Hotel Rizqun Antarabangsa itu amat besar maknanya kepada mereka yang menerima.

Semoga kerjasama daripada kedua belah pihak akan berterusan dalam mengadakan kegiatan yang berkebajikan ini, dan apa yang diharapkan semoga perkara berkebajikan ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

ATAS & BAWAH: Haji Awang Suhaimei ketika menyampaikan sumbangan kepada wakil-wakil guru sekolah agama dari keempat-empat daerah.