GENEVA, 5 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata kelmarin bahawa sebanyak 780 kes cacar monyet yang disahkan oleh makmal telah dilaporkan daripada 27 negara bukan endemik, sambil mengekalkan tahap risiko global buat masa kini adalah sederhana.
WHO berkata, angka 780 bagi kes dari 13 Mei hingga Khamis mungkin dipandang rendah disebabkan kemudahan maklumat epidemiologi dan makmal yang terhad.
WHO turut menyenaraikan negara bukan endemik yang melaporkan kes paling banyak seperti Britain (207), Sepanyol (156), Portugal (138), Kanada (58) dan Jerman (57).
Selain Eropah dan Amerika Utara, kes-kes dalam angka tunggal juga telah dilaporkan di Argentina, Australia, Maghribi serta Emiriah Arab Bersatu.
Meskipun hanya terdapat satu kes cacar monyet di negara bukan endemik, ia tetap dianggap sebagai wabak.
Kebanyakan kes yang dilaporkan setakat ini, hasil daripada peneilitian adalah melalui keadaan kesihatan seksual atau perkhidmatan kesihatan lain yang kebanyakannya melibatkan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis, menurut WHO.
Minggu lepas, WHO telah mengadakan sidang secara maya yang disertai hampir lebih daripada 500 pakar dan lebih 2,000 peserta bagi membincangkan jurang pengetahuan cacar monyet serta keutamaan penyelidikan. – AFP