8.2 juta dos vaksin Sinovac tiba akhir Jun

KUALA LUMPUR, 23 MEI – Kerajaan Malaysia akan mempunyai bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir Jun dengan 3.8 juta daripadanya melalui proses secara ‘fill and finish’ oleh Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 4.4 juta dos vaksin COVID-19 itu diimport terus dari China dengan 400,000 telah diedarkan, satu juta telah diterima manakala baki tiga juta lagi diperoleh akhir bulan depan.

Kilang Pharmaniaga Life Science telah menyiapkan 1.8 juta dos vaksin Sinovac serta dua juta lagi dijangka pada akhir Jun ini dan ini bermakna sejumlah 8.2 juta dos vaksin jenis ini mampu dibekalkan kepada Malaysia, katanya pada sidang media selepas menyaksikan proses pengilangan ‘fill and finish’ di kilang Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd di Puchong hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Ismail Sabri berkata usaha syarikat itu juga berupaya membantu kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.

“Tidak timbul isu kekurangan bekalan kerana Pharmaniaga Life Science boleh bantu dengan kilang yang ada… kalaulah benar seperti digembar-gemburkan di luar sana iaitu kekurangan bekalan, dengan apa yang kita ada hari ini seperti yang saya kata tadi minimum menjelang penghujung Jun kita boleh bekalkan 8.2 juta dos vaksin,” katanya.

Ismail Sabri berkata sehingga semalam, kilang Pharmaniaga Life Science telah menyiapkan sebanyak 1,889,800 dos vaksin untuk edaran dan jumlah keseluruhan pengeluaran produk vaksin dari kilang itu ialah 2,609,800 sehingga hujung bulan Mei ini.

Sementara itu, Zulkarnain berkata kilang itu yang pada masa ini mempunyai kapasiti menghasilkan dua juta dos vaksin sebulan sedang meningkatkan jumlah pengeluaran kepada empat juta dos vaksin sebulan yang dijangka dapat dilaksanakan mulai Ogos ini. – Bernama