8 buah sekolah terima pakej mudahkan e-learning

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah menyerahkan sebanyak 16 pakej sumbangan kepada lapan buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sebagai salah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Penyerahan AMBD Care Package telah diadakan selama dua hari, kelmarin dan hari ini ke Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Rendah Batang Mitus, Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Sekolah Rendah Kuala Belait, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Sekolah Rendah Semabat dan Sekolah Rendah Labu Estate.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMBD, di sini, hari ini, AMBD Care Package yang mengandungi mesin pencetak, dakwat kartrij serta kertas bagi percetakan itu merupakan hasil daripada sumbangan pegawai dan kakitangan AMBD, yang sama-sama ingin menyokong usaha Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah dalam memastikan kesinambungan pembelajaran di Negara Brunei Darussalam pada waktu yang tidak menentu disebabkan oleh penularan wabak COVID19 ini dengan menggunakan kaedah e-pembelajaran dan home-pack learning (HPL).

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengarah Urusan AMBD, Hajah Rokiah binti Haji Badar; Timbalan Pengarah Urusan (Regulatori dan Penyeliaan), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu; Timbalan Pengarah Urusan (Operasi Monetari/Perkembangan dan Antarabangsa), Hajah Noorrafidah binti Haji Sulaiman; Pemangku Penolong Pengarah Urusan (Operasi Monetari), Awang Mardini bin Haji Eddie dan Pemangku Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Korporat), Hajah Sufinah binti Haji Sahat selaku wakil pegawai dan kakitangan AMBD.

Kenyataan menjelaskan bahawa AMBD akan terus bekerjasama dalam menyokong pendidikan di Negara Brunei Darussalam, terutamanya pada waktu yang tidak menentu ini.

Wakil pegawai dan kakitangan AMBD menyampaikan sumbangan pakej AMBD. – Gambar serahan AMBD